Saturday, March 7, 2009

Beli Roket Boleh Bantu Orang Miskin?

GEORGETOWN: Umno Pulau Pinang menyelar tindakan DAP negeri ini yang melancarkan program 'Beli Roket Bantu Miskin Tegar' kerana menganggapnya sebagai satu tindakan tidak bermaruah dan menjijikkan.

Mengikut program itu, setiap naskhah akhbar Roket iaitu lidah rasmi DAP yang dijual oleh golongan miskin tegar pada harga RM2, mereka akan memperoleh keuntungan RM1.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim, berkata program itu bukannya satu usaha membantu golongan miskin tegar, sebaliknya memperalatkan kumpulan yang tidak bernasib baik untuk kepentingan parti.

Beliau yang kecewa dengan kerajaan negeri pimpinan DAP yang gagal melaksanakan tindakan berkesan membanteras miskin tegar, menegaskan program itu seolah-olah menjadikan miskin tegar sebagai kuli parti.

"Cara yang digunakan itu sangat tidak bermaruah kerana mahu memperluaskan pengaruh parti dengan menggunakan keringat orang miskin tegar.

"DAP seolah-olah mahu memperhambakan orang miskin tegar untuk kepentingan parti," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik, mengumumkan program 'Beli Roket Bantu Miskin Tegar' sebagai antara usaha untuk membantu mengurangkan masalah miskin tegar di Pulau Pinang.

Menerusi program itu, DAP negeri akan memberi peluang kepada golongan miskin tegar untuk menjual akhbar Roket. Peserta program itu akan membeli akhbar Roket pada harga RM1 senaskah dan menjualnya pada harga RM2.

Azhar yang juga Adun Penaga berkata, taktik yang digunakan oleh DAP itu pernah diamalkan sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan, Al-Arqam.

"Sebelum ini, pertubuhan itu memperalatkan kanak-kanak untuk menjual bahan terbitan mereka dan kini DAP mahu menjadikan orang miskin tegar sebagai kuli parti itu," katanya.

Serentak itu, beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu DAP menarik balik program berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri perlu merangka program yang berkesan dengan menyediakan peruntukan khas untuk membanteras miskin tegar, bukannya mengambil kesempatan ke atas pihak lain.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada pandangan aku, DAP pun sudah tidak betul. Banyak cara lagi yang boleh bantu orang miskin. Ini sahaja yang boleh difikiran oleh Pakatan Rakyat dalam membantu rakyat yang miskin. Aku puji cara Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang melancarkan Program dalam membantu miskin tegar. Ini baru perintah negeri, kalau negara pulak nanti, buat program wajib pelajar beli Roket di sekolah-sekolah, macam-macam lah.

No comments:

Post a Comment